Ahad, 12 Februari 2012

~Dakwat Kasihku~

di setiap kehidupan
yang kuperlukan hanya seiklas kasihmu
cukup buat kumerasa bahagia
tiada yang bererti bagiku selain sayang...
walaupun rindu menyakitkan
di situ jua kasih makin kurasa
biarkan kumencintaimu hingga akhir kalamku

dakwat yang kuisikan
dalam kalam bahasa menulis
kupenuhi dengan warna pelangi
tintaan rasaku yang pelbagai

bersama warkah rindu kutuliskan,
menyusun kata-kata yang lahir
itulah bicara naluri jiwaku
bukan dari bibir berlidahkan falsafah

dengan bahasa kuloretkan rasa hati
menjadi satu gubahan untuk tatapan jiwa
menuntun hati menyelami rasa
yang terukir dari sentuhan sanubari
berbagi-bagi rasa antara kita
dalam menelusuri bait-bait bahagia

bait-bait bersulamkan bahagia,
menceriakan hati berlara hempedu
dalam setiap makna tersirat mesra
menghalau galau yang mencakar
tanpa belas ...

dan aku hanya perlukan
seobor kasihmu agar membakar
menjana setiap tenaga untukku
terus berperang pada badai kehidupan!

~isma anis al-fikri~
♥ 12 Feb 2012 ♥

Tiada ulasan:

Catat Ulasan